Tuesday, August 24, 2010

apa erti merdeka

Apa Erti Merdeka Dikir Barat sempena hari merdeka yang di mainkan semula sewaktu Kem BTN di Langkawi oleh Pengetua Kem sewaktu Kursus Tatanegara di Langkawi beberapa tahun lepas.


TAZKIRAH RAMADHAN 1431 HIJRAH BIL 021/1431

Salam Ramadhan hari ke 14  1431 Hijrah, malam ini Teraweeh malam ke 15.

Hari merdeka (dulunya hari kebangsaan) tinggal seminggu lagi.Dan  semalam ramai yang bersesak sesak di Jalan Masjid India KL disamping untuk mencari persiapan raya, juga mencari bahan bahan untuk digunakan untuk menyambut hari kemerdekaan. Benar, Kebab  Syawarma panas panas serta beraroma yang terbaik dalam KL semasa bulan bukan Ramadhan sekalipun ialah stall yang telah lebih 15 tahun terletak di depan Coliseum berhampiran dengan gerai menjual suratkhabar dan lampu isyarat penjalan kaki untuk melintas cuma masalah besar ialah kena beratur lama terutamanya time lunch hour (bulan bulan  bukan Ramadhan). Tak jauh dari lokasi tersebut sebaris menerusi deretan kedai, terdapat restoran Bilal yang pernah menjadi lokasi  rasmi tetap selama beberapa tahun  untuk mengadakan majlis berbuka puasa dengan menu beriani kari ayam peha  , dalca serta acar dan sirap , kopi dan teh,  dan belanja berbuka untuk seramai  lebih 60 orang kakitangan pejabat serta keluarga mereka tidak sampai rm200 disitu disamping tingkat atas ditutup terus untuk function. Namun terdapat satu lagi restoran Bilal yang penuh sejarah terletak berhadapan Standard Chartered Bank Jalan Ampang/Jalan Melaka yang menjadi lokasi tetap Allahyarham Seniman Agung Tan Sri Dr P Ramlee bersama rakan rakannya termasuk Seniman Datuk Aziz Sattar berjumpa untuk makan makan dan sembang sembang dulu dulu dan restoran berkenaan masih lagi wujud hingga ke hari ini. Bekas Perdana Menteri Britain John Major yang pernah bertugas sebagai pengurus Chartered Bank berhampiran adalah bekas customers tetap restoran Bilal berkenaan.

Namun hari ini, generasi hip hop ala barat kita hari ini mungkin menganggap restoran sebegini tiada kelas tetapi bagi yang menghargai sejarah tentunya akan sedar yang restoran sebegini adalah beribu kali lebih baik daripada kebanyakkan restoran atau kopitiam moden hari ini. Menu istimewa pagi pagi bukan bulan Ramadhan di Bilal Jalan Ampang ialah roti canai lembut cicah kuah kari ayam beserta teh tarik cawan ala dulu dulu. Apa yang lebih penting sewaktu berbuka ialah makanannya halal yang tempat solat juga tidak jauh. Bagi yang berbuka di Bilal Jalan Ampang, terdapat surau di tingkat 1 bangunan  Menara Etiqa Takaful (dulunya bangunan dato zainal) di sebelah chartered bank ataupun masjid jamek dan masjid india.

Bagi yang berbuka di Restoran Bilal Jalan TAR pula, selain daripada Masjid jamek dan Masjid india terdapat surau di tingkat 3 menara tun razak yang sekarang dikenali juga sebagai menara tradewinds berhampiran dengan Coliseum.
Berbalik kepada erti kemerdekaan--pada budak sekolah rendah di St Xaviers Institutions Penang tahun 1975-79 dulu sewaktu di darjah 2 hingga 6, yang kami faham ialah semua sekolah di seluruh Pulau Pinang mendapat tiket wayang percuma untuk di tonton pada jam 10 pagi samada di panggung Cathay, panggung Odeon, panggung Paramount,panggung Kapitol, panggung Rex. Cikgu cikgu kelas akan turut sama hadir bersama semua murid murid kelas masing masing. Ceritanya pula biasanya samada cerita cowboy lawan red indian lakonan John Wayne ataupun cerita perang Amerika lawan German. Jadi kami dengan penuh seronok memakai uniform sekolah akan ke panggung yang ditetapkan. Sekarang hanya tinggal panggung Odeon penang yang masih aktif yang tak jauh dari  restoran line clear yang  kini menayangkan hanya filem filem tamil dan hindustan.
Panggung Paramount yang dulunya menayangkan semua siri filem esok Tan Sri Jins Shamsuddin termasuk Menanti Hari Esok  lebih daripada sebulan  serta filem Si Badul  juga ditayangkan lebih sebulan disitu tetapi panggung berkenaan telah dirobohkan sewaktu pembinaan dan pembesaran Komtar.
Panggung Cathay sekarang menjadi Mydin hypermarket penang road dan panggung Rex yang dulunya giat menayangkan filem filem Tan Sri Dr P Ramlee juga sudah tidak menayangkan apa apa cerita lagi. Manakala panggung Kapitol yang menjadi panggung rasmi siri siri filem James Bond sehingga menayangkan filem The Spy Who Love Me lebih 2 bulan setiap hari telah juga dirobohkan.
Begitulah erti merdeka pada kanak kanak sekolah rendah lewat tahun 70 an di Pulau Pinang dan bagi yang mempunyai masa selepas menonton wayang percuma akan segera ke Dewan Sri Pinang Pulau Pinang kerana biasanya ketika itu akan diadakan jamuan makan tengahari percuma untuk semua termasuk dif dif kehormat seperti Gavenor Allahyarham Tun Sardon Jubir dan Ketua Menteri ketika itu Tun Dr Lim Chong Eu selepas sambutan turut berlangsung dalam Auditorium.
Erti merdeka kanak kanak tahun 70 an ialah dapat tengok wayang free dan dapat lunch free yang biasanya disediakan oleh Restoran Eden dari Hutton Lane Penang yang kini mempunyai outlet yang besar di Jalan Raja Chulan tak jauh dari LTAT KL dan Pavillion KL.

Apakah erti merdeka pada generasi tahun 2010? Sekalipun sambutan tahun ini tidak diadakan di Dataran Merdeka (dulunya Padang Kelab Selangor) tetapi di jamin seratus peratus yang pada malam bulan Ramadhan malam merdeka isnin malam selasa minggu depan ramai mat mat dan minah minah rempit akan berkumpul beramai ramai di Dataran Merdeka walaupun ketika itu sudah 10 malam terakhir Ramadhan.
Jangan terkejut sekiranya 9 bulan selepas sambutan malam merdeka yang mereka beramai ramai beria ia menyambut bersama pasangan masing masing akan lahirlah lagi bayi bayi yang kemudiannya di buang di serata tempat.  Ribuan motor motor bising serta kereta kereta yang diubah suai bagi menambat hati minah minah berotak kosong akan di letakkan di serata tempat sekitar bangunan pejabat berhampiran Dataran Merdeka.

Namun disebabkan cuti merdeka kali ini adalah satu cuti yang panjang, janganlah kita terkejut yang perbuatan tak senonoh mereka akan bermula dengan cuti malam Nuzul Quran khamis malam jumaat minggu ini dan akan berterusan hampir setiap malam sehingga ke malam  menyambut merdeka. Mungkin tidak salah sekiranya dijangkakan kelahiran bayi bayi terbuang selepas 9 bulan akan menjadi lebih ramai daripada biasa disebabkan cuti yang panjang.

Barangkali para ibu bapa juga patut dihukum kerana tidak menjalankan kewajipan sebagai ibubapa sepenuhnya dalam mendidik anak anak mereka selain hukuman berat seperti gantung sampai mati boleh dikenakan pada pasangan pasangan yang membuang bayi hingga terkorban dan bagi bayi yang sempat diselamatkan--pasangan berkenaan boleh di dakwa atas cubaan membunuh.

Mengambil kesempatan sempena hari merdeka, semua stesen TV patut menyiarkan berulang kali sekurang kurangnya 4 filem wajib iaitu Hang Tuah filem warna (lakonan Tan Sri Dr P Ramlee), Hang Jebat (Lakonan Seniman Nordin Ahmad),  Sarjan Hassan (Lakonan Tan Sri Dr P Ramlee) dan Bukit Kepong (Tan Sri Jins Shamsuddin)

Sedikit masa dulu sewaktu mengadakan satu program di Langkawi dua filem telah ditayangkan di Lanai Beach Resort Langkawi. Filem Sarjan Hassan di tayangkan jam 330 petang jumaat di Dewan Lanai beach Resort manakala pada malamnya jam 1130 malam filem Bukit Kepong di tayangkan menerusi konsep wayang pacak di Pantai Chenang, Lanai Beach Resort Langkawi. 
Angin laut bertiup nyaman kadang kadang agak kencang sedikit namun tidak memberi kesan kepada layar yang dipasang secara professional oleh pihak Lanai Beach Resort. Seniman Datuk Aziz Sattar yang turut dijemput  hadir di kedua dua tayangan filem berkenaan memberikan ulasan selepas tamat tayangan  tepi pantai lewat jam 130 pagi mengenai betapa payahnya kehidupan semasa zaman sebelum merdeka--zaman komunis. Seniman Datuk Aziz Sattar menceritakan yang ada masanya selepas stage show mereka tidak dapat pulang kerana mendapat maklumat komunis mungkin ada di kawasan yang mereka akan lalu bila pulang, jadi mereka semua terpaksa menumpang  tidur ala kadar dimana mana saja yang sesuai. Juga pernah dalam satu kejadian lain di zaman komunis bergerak aktif, tayar kereta mereka pancit dan Seniwati Neng Yatimah (ibu kepada Allahyarhamah Seniwati Roseyatimah) mempunyai kekuatan yang luar biasa dimana sewaktu tayar hendak ditukar Seniwati Neng Yatimah mampu mengangkat naik kereta hanya dengan kudratnya seorang bagi membolehkan tayar di tukar oleh Seniman Datuk Aziz Sattar lewat tengahmalam selepas tamat stage show.

Begitulah pengorbanan para Seniman dan Seniwati Legenda kita, tetapi ramai pelakon berotak kosong hari ini menjadi terlampau manja dengan membuat pelbagai aduan remeh temeh seperti budak budak terencat Aqal di pelbagai program hiburan TV--mungkin dengan harapan mereka akan lebih popular dengan cara begitu kot.

Namun apa yang lebih penting ialah hari selasa depan 31/8/10 jatuh pada 10 malam terakhir Ramadhan yang seharusnya menjadikan semua umat Islam sepatutnya berterusan meningkatkan prestasi amalan masing masing bukannya menambahkan kontroversi dengan pelbagai perbuatan tidak berfaedah seperti merempit, mabuk mabuk, mengambil dadah dsbnya dan merancang untuk membuang bayi 9 bulan lagi selepas itu.

Filem filem yang disebut tadi sepatutnya disiarkan berulang kali serta ditayangkan secara kehadiran wajib di semua sekolah, kolej serta universiti serta di jadikan bahan perbincangan dalam pelbagai forum--bukannya berbincang pembikinan filem berkenaan tetapi berbincang mengenai zaman zaman yang dijadikan tema filem-filem berkenaan.

Kesimpulannya, apakah erti kemerdekaan bagi kita? Cuti umum? Bersuka ria di Genting? Bershopping sakan untuk raya? Ingatlah malam malam sepuluh terakhir Ramadhan amat berharga sepertimana malam malam lain dalam bulan Ramadhan yang tidak seharusnya dibazirkan dengan pelbagai aktiviti yang boleh menambahkan dosa.

Renung renungkan, selamat beramal, tingkatkan prestasi,kurangkan kontorversi, selamat berpuasa, selamat berbuka, selamat berTeraweeh etc etc etc dan selamat bersahur.



iskandar1967@gmail.com

No comments:

Post a Comment